Ulasan penuh Macbook 12 inci

by - 2:18 PM


Apple mengambil masa yang agak lama untuk memperkenalkan Macbook generasi baru, lebih 5 tahun daripada model sebelum ini. Macbook terakhir yang diperkenalkan oleh Apple adalah Macbook polikarbonat berwarna putih pada tahun 2010 dan ianya dihentikan pada tahun 2011 kerana Apple mahu fokus terhadap barisan Macbook Pro dan Air.

Kini, pada tahun 2015, Tim Cook secara rasminya telah memperkenalkan Macbook generasi baru, Macbook ternipis dan paling ringan dalam sejarah. Macbook baru ini dikatakan menjadi petunjuk hala tuju Apple selepas ini. Mampukah Macbook baru ini meneruskan kegemilangan Macbook Pro dan Macbook Air? Baca review sepenuhnya untuk mengetahui dengan lebih terperinci.



Design

Hampir kesemua produk baru Apple mempunyai rekaan nipis dan ringan, Macbook terbaru ini juga mengikut jejak yang sama. Macbook baru ini lebih ringan dan nipis berbanding Macbook Air, dan hanya sedikit lebih berat berbanding iPad Air 2.



Macbook baru ini boleh menjadi sangat nipis dan ringan kerana Apple tidak lagi menggunakan kipas dan  macbook ini menggunakan cip Intel Core M yang mengeluarkan haba jauh lebih rendah berbanding cip-cip lain. Hal ini membuatkan Macbook baru ini cukup senyap dan tidak menjadi terlalu panas seperti laptop lain.


Logo Apple pada bahagian belakang skrin yang menyala pada kesemua model Macbook sebelum ini kini diganti dengan logo 'reflective' berkilat bagi menjimatkan bateri dan mencapai rekaan paling nipis. Macbook baru ini mempunyai 3 pilihan warna iaitu Silver, Space Grey dan Gold.

Ports

Sebab lain Apple berjaya mencapai rekaan senipis ini adalah dengan membuang kesemua port dan hanya menggunakan hanya 1 port USB-C pada bahagian kiri dan headphone jack pada bahagian kanan. Ini bermakna, jika anda mahu menggunakan sebarang peranti lain yang menggunakan USB, HDMI, VGA dan sebagainya, anda perlu membeli adapter USB-C.


Menurut Apple, laptop pada masa akan datang tidak lagi menggunakan semua port-port ini kerana zaman yang sudah berubah kepada 'cloud and wireless storage'. 

Skrin

Macbook 12 inci Retina ini mempunyai 3 juta piksel dengan resolusi 2304x1440, menghasilkan kualiti warna terbaik dan tajam.


Piksel telah diubahsuai oleh Apple bagi membenarkan lebih banyak cahaya untuk brightness yang lebih terang serta 'tone interpretation' lebih baik terutamanya ketika menonton video.

Keyboard

Apple menggunakan keyboard serba baru yang direka semula khas untuk Macbook ini. Saiz setiap butang kini 17% lebih besar berbanding model-model sebelum ini. Setiap butang kini menggunakan 'butterfly mechanism' yang dicipta oleh Apple, membuatkan setiap butang lebih sedap dan stabil untuk ditekan berbanding rekaan 'scissor mechanism' pada model-model sebelum ini.


Keyboard baru ini memerlukan sedikit masa untuk anda membiasakan diri kerana butangnya lebih besar dan ianya 40% lebih nipis berbanding keyboard sebelum ini. Selepas beberapa jam menggunakan Macbook ini, kami rasakan ianya lebih baik dan mudah untuk menaip secara laju.

Keyboard baru ini juga mempunyai lampu LED pada setiap butang, membuatkan ianya lebih terang dan cantik ketika gelap. Secara keseluruhannya, kami amat menyukai keyboard serba baru ini kerana ianya lebih besar dan lebih sedap ditekan.

Force Touch

Trackpad pada Macbook baru ini mempunyai rekaan lebih besar, dan kini ianya mempunyai 4 'force sensors' untuk mengetahui adakah anda menekan trackpad tersebut dengan lembut atau kuat. Teknologi baru ini mula digunakan pada jam tangan pintar Apple Watch dimana ianya boleh mengesan tekanan pada permukaan skrin atau trackpad. Sebagai contoh, force touch pada perkataan akan mengeluarkan maksud perkataan tersebut manakala force touch pada alamat akan mengeluarkan peta.


Seperti keyboard serba baru, ianya cukup canggih dan baik tetapi memerlukan sedikit masa untuk anda membiasakan diri. Kami masih sedikit kekok menggunakan trackpad baru ini tetapi selepas hampir 1 minggu menggunakan Macbook ini, ianya semakin baik.

OS X Yosemite

Fungsi Continuity di dalam sistem operasi Mac OS X Yosemite ini membuatkan Macbook anda lebih rapat dengan iPhone dan iPad. Banyak perkara kini boleh dilakukan bersama seperti menjawab panggilan telefon pada Mac, menyambung layari web pada peranti berbeza dan sebagainya cukup mudah untuk digunakan. Ini menunjukkan Apple terus komited untuk iOS dan Mac OS X bekerja bersama dan memudahkan pengguna dengan ekosistem mereka.


Dari segi prestasi, OS X Yosemite tidak mempunyai masalah pada Macbook ini. Animasi keseluruhan tidak sangkut, melayari web, menonton video HD, email sebagainya dilakukan pada masa sama tanpa sebarang masalah. Tetapi, Macbook ini menjadi sedikit perlahan apabila anda membuka aplikasi berat seperti iMovie dan Photoshop. Pada kami, ianya bukan masalah besar tetapi jika kerja anda memerlukan suntingan video yang banyak, Macbook Pro adalah pilihan yang lebih baik.

Bateri

Apple mengatakan bateri pada Macbook ini mampu bertahan 9 jam untuk melayari web dan 10 jam jika menonton video dengan sekali cas. Penggunaan kami sendiri dengan menonton video, melayari web, membalas email dan bermain media sosial, Macbook ini bertahan hampir 8 jam.

Harga

Harga Macbook ini adalah RM 4769 untuk model Intel Core M 1.1GHz dengan storan SSD 256GB dan RM 5829 untuk Intel Core M 1.2GHz dengan storan SSD 512GB. Ianya tidak murah dan tidak ramai yang mampu memilikinya buat masa ini.

Macbook Air kini adalah Mac paling mampu milik dengan harga bermula RM 3391 sehingga RM 4451. Macbook Pro juga kini dijual pada harga RM 4027.

Penutup

Macbook 12 inci ini adalah langkah berani Apple untuk mengubah landskap Mac dan juga pasaran laptop seperti apa yang mereka pernah lakukan pada Macbook Air sebelum ini dengan membuang DVD-Drive dan Ethernet port.


Walaupun mempunyai kekurangan dari segi port, ianya lebih baik dengan rekaan sangat nipis dan ringan, skrin Retina yang cukup tajam, keyboard serba baru dan teknologi force trackpad.

Kami rasa Macbook ini adalah laptop tercantik di pasaran tetapi jika anda masih bergantung kepada port-port tersebut, mungkin belum tiba masanya untuk anda membeli Macbook ini. Jika anda tidak mementingkan port, tidak kisah menggunakan adapter dan mempunyai bajet yang cukup, memang berbaloi untuk memiliki laptop paling seksi di pasaran buat masa ini.

You May Also Like

1 comments