Cinta Itu Bukan Milik Kita (Part 2)

by - 11:14 PM

Part 1



Suami dingin membisu.

Balik lewat pagi.

Bila ditanya kenapa, katanya ada banyak kerja. Meeting. Jumpa client situ sini. Ada banyak projek. Sibuk. 

Sibuk, sibuk dan sibuk.

Selalu. Bukan hari ini. Sejak tiga bulan lalu. Sejak aku cuba lari dari rumah dulu. Sejak aku cuba lari kepada kekasih lamaku dulu. Namun, tidak kesampaian hajatku. Nyata, bekas kekasih tabah menghadapi hidup barunya. Tanpa aku. 

Kekadang terasa sangsi. Benarkah kekasih lamaku itu menyintai diri ini? Namun, dari riak wajahnya, dari titisan air matanya yang ku saksikan sendiri dengan mata kepalaku, sudah cukup membuktikan keikhlasan hatinya. Mungkin selama ini, aku saja yang buta melihat ketulusan hatinya. Bukan mungkin, memang aku buta.

Tapi aku, kini isteri orang. Cubaan kembali kepada kekasih hati, hanya berjumpa dengan jalan mati. Aku kembali sebagai wanita bernama isteri. Kepada seorang suami.

Hari ini, aku tekad. Sudah bosan terasa disingkir, dielak dan disisih suami sendiri. Bukan sehari dua. Sudah tiga bulan. Tiga bulan bukan tempoh yang singkat. Kesabaranku pun ada hadnya!

Tekad untuk menyungkil jawapan. Kenapa dia dingin terlampau begini?

"Abang."

Pukul 2 pagi. Suamiku itu baru pulang dari kerja. Usai berpakaian lengkap pijama kebiasaannya. Baring di sebelah. Membelakangiku. Menyahut malas panggilanku.

"Ya. Apanya? Dah lewat ni. Esok abang nak bangun awal. Ada banyak kerja di pejabat."

Aku bangun bersandar di kepala katil.

"Tolonglah terus-terang pada saya. Kenapa abang buat endah tak endah saja pada isteri abang ni? Bukan semalam, bukan minggu lepas. Tapi, dah 3 bulan, bang. Tiga bulan. Saya tak kisah pun abang tak tunaikan nafkah saya, saya cuma nak tahu, apa sebabnya?!"

Suaraku sedikit meninggi.

Tiada respon. 

Aku mencuba lagi mengulang soalan yang sama.

Kali ini, dia bangkit dari tempat tidur. Berdiri di hadapanku. Ku lihat mukanya sedikit bengis. Lantas membentak hebat.

"Awak tanya abang kenapa? Layak ke awak tanya abang soalan tu? Gaduh dengan suami, kemudian awak lari keluar rumah, cari pakwe lama, ingat abang tak tahu?!

Abang nampak dengan mata ni sendirilah, lelaki bangsat tu hantar awak tak jauh dari rumah kita. Kebetulan abang baru balik kerja masa tu. Memang Allah nak tunjuk, isteri macam awak ni jenis tak setia! Isteri derhaka! Nasib baik abang tak terajang saja awak dan ex-bf tercinta tu. Nasib baik suami awak ni masih boleh bersabar sampai tiga bulan!"

Aku tersentak. Terasa ke dasar hati. Pedas sekali bahasanya. Soalan dijawab dengan tohmahan. Dengan kemarahan. Spontan, air mata ini menuruni pipi. 

"Maafkan saya, abang. Tapi, saya dah tak jumpa dia lepas tu. Tak berhubung pun! Sumpah!"

Suamiku terus berjalan ke pintu bilik. Dicapai jaket dan walletnya. Segera aku mendapatkannya. Mencapai tangannya. Dia menyentak pantas tanganku. Enggan disentuh.

"Abang...dengarlah penjelasan saya dulu. Maafkan saya. Maaf..."

Dia berjalan keluar. Dicapainya kunci kereta. Aku segera menahannya. Namun, waktu ku cuba capai bahunya, kepalaku tiba-tiba pusing. Pening sangat-sangat. Pandangan di hadapanku gelap gelita.

Sedar-sedar, dah berada di hospital. 

Suami sedang bercakap-cakap dengan doktor. Kemudian, doktor datang kepadaku. Dengan senyuman penuh erti.

"Tahniah, puan. Puan dah tiga bulan hamil." 

Aku bagai tak percaya. Aku akan jadi ibu! Alhamdulillah. Gembira bukan kepalang. Doktor meninggalkan kami berdua.

Ku lihat suami yang tadi tersenyum happy depan doktor, tiba-tiba berubah watak. Sekelip mata, masam mencuka. Seraya berkata ringkas,

"Anak siapa dalam perut tu? Anak abang? Anak lelaki tak guna tu?"

Pecah berderai hati. Sinis betul. Sampai aku tak mampu mengeluarkan kata-kata. Tangisan menggantikan bingkisan hati yang tidak terluah. Tuduhan sebesar dunia seorang suami pada seorang isteri. Bukan dakwaan gurauan. Ni seperti sudah menganggapku terlanjur buat kerja terkutuk dengan bekas kekasih.

Sehina itukah diri ini?

"Sampai hati...."

Mulai saat itu, layanan makin dingin ku terima. Ku sangkakan kemarau sudah sampai ke penghujungnya, rupanya berpanjangan hingga tandus kering. Hingga luruh susut ke akar umbi.

Dua bulan berlalu.

Perangai suami makin menjadi-jadi. 

Kadang-kadang dia langsung tak balik kerja. Outstation berhari-hari. Entah betul entah tidak. Seribu alasan.

Aku ke klinik bersendirian. Buat pemeriksaan pun bersendirian. Kadang-kadang, aku dimarahi nurse. Sebab blood test suami diperlukan juga sekarang. Bukan isteri hamil saja yang diperiksa. Suami pun kena. Bermacam alasan ku berikan. Prosedur demi prosedur ku jalani sendiri dengan doktor. Cemburu sangat bila lihat pasangan hamil yang lain datang ditemani suami masing-masing. Ada yang bukan setakat suami, satu famili datang temankan. Tak sabar menanti kelahiran anak masing-masing.

Tapi aku? Ah. Pilu!

Aku pula sejak mengandung, badan makin berisi. Wajah yang dulu runcing, sudah jadi tembam bulat. Wajahku yang jadi kegilaan ramai dulu, kini tak ubah seperti makcik-makcik. Badan pun gempal. Efek hamil.

Pening, loya, sensitif masa mengandung makin menjadi-jadi. Sudahlah hamil buat pertama kali. Tak ada siapa pula di sisi. Kadang-kadang, ibu ayah menghubungi tanya khabar. Aku cuma jawab aku okay, sihat, happy. Padahal dalam hati, macam hidup dalam neraka ciptaan sendiri. 

Berpura-pura.

Bila suami balik ke rumah, sibuk dengan henfonnya. Tak lepas dengan henfon. Kadang-kadang, ku lihat dia tersenyum sendiri depan henfonnya. Pernah sekali, aku curi-curi buka henfonnya. Luluh hatiku. Ada gambar perempuan lain. Nyata, dia sedang berubah hati. Menambahkan kesedihan dalam hati.

"Abang, kenapa buat saya macam ni? Percayalah, ni anak abang. Wallahi, saya tidak pernah berlaku sumbang dengan lelaki lain!"

Suamiku mengerling tajam.

"Abang sikit pun tak percaya. Dulu, awak pernah kata, awak tak cinta abang pun, kan?"

Aku bungkam. Peritnya jiwa!

Dia tak tahu, aku sedaya upaya singkirkan seluruh rasa pada kekasih lama. Sedaya upaya termampu daya alihkan seluruh perasaan 150 juta peratus cinta hanya pada suami. Hanya pada dia yang sah! Mengapa dia tak mengerti? Kenapa dia tak nampak?

Aku dah sediakan makan minumnya setiap hari. Sikit pun tidak disentuhnya. Aku sediakan pakaian kerjanya, tapi dia pakai pakaian yang lain. Aku tunggu di muka pintu rumah pergi dan balik kerja untuk salami tangannya, tapi sikit pun tidak dihirau. Ya Rabbi! Aku isterinya atau cuma tunggul kayu?

Atau, Tuhan sedang membalas kembali, satu persatu kesalahanku pada bekas kekasihku dulu? Aku yang kejam kerana meninggalkannya dan memilih suamiku sekarang. Aku yang buat dia menderita, merana memendam rasa. Doa orang yang dizalimi tidak pernah tertolak!

Sendiri menitis air mata. Kesal sendiri. Kalaulah aku memilih untuk hidup bersama orang yang aku cintai dulu, sudah pasti kini aku sudah bahagia. Kecewa di dasar hati. Tapi, aku mengerti..

..istilah "kalaulah" tidak terbit dalam kamus agama!

Aku ditinggalkan berhari-hari. Melewati setiap hari yang berlalu dengan air mata. Ku capai henfon. Ku taip mesej ringkas. 

Aku nak mengadu derita. Tak tahu pada siapa. Hantar pada kekasih lama. Sudah enam bulan berlalu. Agaknya dia takkan reply. 

Ding! 

Mesej masuk.

"Kau bertabah, ya."

Eh, dia masih ada! Seketika, aku rasa ada tempat untuk berpaut.

Terus saat itu, ku curahkan semua yang terbuku di sudut hati. Segala yang ku alami, segala yang ku deritai. Ku beritahu semua. Hingga hasratku yang kekadang rasa mahu diceraikan saja pun ku luahkan. 

Lelaki itu tenang membalas setiap mesejku.

"Kau jangan rasa menyesal tidak memilih aku. Kau ingatlah, ini adalah ketentuan Allah. Pilihan Allah. 

Antara pilihan kau dan pilihan Allah, pilihan kau selama-lamanya akan tewas. 

Allah Maha Besar. Takdir-Nya lebih besar dari hati kita. Hati yang sekelumit ini jua akan tumpas berdepan dengan takdir Allah.

Kau sabarlah ya. Doalah. Doa yang tulus ikhlas dan bersungguh-sungguh meratap syahdu di setiap sujudmu dan di setiap malam harimu, mampu merubah takdir. Hati suami kau, Allah yang pegang. Keras seperti batu pun, sekali dijentik dengan kasih-Nya, berkecai jadi air yang mengalir. Kau yakinlah pada Allah.

Yakin, kau perlu cintai suami kerana Dia.

Andai tiada Tuhan di hatimu, 
Cinta pinjaman itu akhirnya beku."

Pedih.

Aku nyatakan, aku dah tak boleh sabar lagi. Dah tak boleh tahan lagi sengsara.

Lelaki itu tenang lagi membalas.

"Ujian Allah tidak pernah untuk buat kita jauh dari-Nya. Ujian-Nya adalah untuk menghapuskan jurang antara hamba dan Pencipta. Makin kuat ujian, makin rapat dan mesra kasih-Nya. 

Ingat, hati-hati yang terluka, derita, sedih dan sengsara itu, Pembelanya adalah Dia sendiri. 

Kau terimalah ujian ini dengan sekuat daya. Anggap saja ianya sebagai penghapus dosa-dosa semasa kita bersama dulu. Dulu, kita jahil. Syukur, Allah balas ketika di dunia lagi. Andai dibalas di akhirat, beribu kali ganda sakitnya. Andai kau rasa sakit sangat sekarang, ingatlah sakit lagi di akhirat. Azab lagi seksaannya kelak.

Kau nak begitu? Pastinya tak mahu.

Kau tenang saja dan rasailah kasih Tuhan mengalir dalam dugaan ini. Di penghujung setiap kesabaran, adalah ketenangan dan pertolongan dari Allah. Solat dan sabar. Tak boleh sabar, solat. Tak boleh solat, sabarlah.

Sakit dalam hati ini, jua antara nikmat-Nya. Tak jadi begini, kau takkan menangis. Takkan lemah longlai mencari Allah. Sebab rasa sakitlah, kau mula cari Penyembuhnya. 

Sakit itu nikmat."

Aku masih tak yakin aku mampu kuat. Tapi, lelaki itu text lagi sambungan. Demi menguatkan aku.

"Bila semuanya sudah tidak terdaya kau lakukan. Menangislah kerana Allah. Jangan menangis kerana duka semata. Menangis kerana kau merasa lemahnya sebagai hamba Dia. 

Rasulullah s.a.w. jua menangis. Menangis ketika kehilangan isteri tercinta, Saidatina Khadijah. Menangis ketika kehilangan anaknya. Kehilangan puterinya.

Usamah bin Zaid meriwayatkan, bahawasanya Rasulullah s.a.w. mengangkat mayat anak dari puteri Baginda yang telah meninggal dunia. Lantas kedua-dua mata Rasulullah s.a.w bercucuran air mata. 

Sa'd berkata kepada Rasulullah s.a.w.,

"Wahai Rasulullah, kenapa engkau menangis?" Rasulullah s.a.w. menjawab, 

"Ini adalah kasih sayang. Allah menjadikan kasih sayang ini di dalam hati hamba-hamba-Nya dan Allah Maha Mengasihi hamba-hamba-Nya yang bersifat pengasih." (HR Muttafaqun 'Alaih)

Rasulullah kenang kasih Tuhan dalam tangisan. Kau pun kenanglah kasih Tuhan seperti Nabi lakukan.

Aku percaya kau juga pengasih orangnya. Kasih kepada suami kau, sebab itu kau bertahan hingga sekarang. Kasih kepada anak dalam kandungan kau, sebab itu kau sanggup menyerap segala derita.

Aku dah lama kenal hati budi kau."

Menangis aku membaca bait-bait teksnya. Mengapa lelaki ini begitu baik pada aku, walaupun aku menolaknya semahu hati sewaktu dulu? 

Allahurabbi..

"Ingatlah, dalam Surah Al-Mulk ayat 30, Allah berfirman yang bermaksud,

"Katakanlah lagi: Bagaimana fikiran kamu, sekiranya air kamu hilang lenyap ditelan bumi, maka siapakah yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?"

Andai air di dunia ini semuanya hilang lenyap, Allah sahaja yang mampu memancarkan semula mata air yang telah tertutup rapat.

Begitu juga hati suami kau. Andai cintanya hilang lenyap ditelan kemarahannya sekalipun, siapakah yang dapat memancarkan kembali cintanya pada kau selain Allah?

Hanya Dia. Hanya Allah."

Aku bagaikan ditiup semangat dan kekuatan.

Tidak sedar, waktu aku tengah bermesej, suamiku pulang dari kerja. Kantoi. Dirampasnya henfon aku. Dilihatnya nama bekas kekasih yang terpapar di skrin.

Apa lagi, amuk satu rumah.

Aku cuba meminta maaf. Namun, sia-sia. Aku dimaki hamun semahunya. Istilah mesra 'abang, sayang' sudah hilang.

"Hey perempuan! Aku nikahi kau sebab muka kau tu cantik saja! Sebab keluarga kau setaraf keluarga aku! Ada harta! Ada status! Kalau kau miskin, kau tak cantik, sampai kiamat pun aku tak ingin pun!

Kau sedarlah sikit diri tu! Perempuan keji!

Kau nak bercerai, kan?!

Baik, aku ceraikan kau! Pergi jahanam kau dengan jantan tak guna tu!"

Aku bagai dipanah petir. Terkaku dengan esak tangis di ruang tamu. Suamiku mahu berlalu pergi dari rumah.

"Abang..jangan buat saya begini. Saya tengah mengandung, bang. Tolonglah kasihankan anak kita ni. Tolong..."

Tidak dihiraukan. Aku segera berlutut di kakinya, pegang erat betisnya. Dekap kemas. Minta jangan pergi.

Diterjahnya aku ke sisi. Aku berlari lagi mendapatkannya. Malang. Tersadung di tangga rumah. Tergolek di anak tangga yang berbelas-belas itu. Perutku sakit pedih. Argh. Darah mengalir ke bawah membasahi kedua kakiku. 

***

Kala malam. Di sisi katil.

Lelaki yang bernama suami itu nampak sugul. Termenung sendiri. Pipinya berbekas aliran air mata.

Sudah sebulan berlalu. Hari ini harijadinya.

Kemas di ingatan, dia menerima pesanan ringkas di henfon isterinya. Dari bekas kekasih isteri. Mesej itu bukan dari lelaki yang dibencinya itu, tapi dari si adik lelaki itu. Katanya, abangnya sudah tiada. 

Malam pergaduhan terakhirnya dengan isteri, hari itu sebenarnya hari pembedahan kepala bekas teman lelaki isterinya. 

Enam bulan lepas, selepas menghantar isterinya pulang, lelaki itu terlibat dengan kemalangan jalanraya. Mengalami kecederaan teruk di bahagian kepalanya. Namun, survive dengan terlantar sekian lama di katil hospital. Darah beku masih ada di kepalanya, pembedahan kali kedua di kepala nyata tidak menyebelahinya. 

Allah lebih menyayangi.

Mesej-mesej antara isterinya dengan lelaki itu. Itulah mesej-mesejnya yang terakhir. 

Dia sendiri dah baca. Terkejut, butiran mesej tiada sedikit pun seperti sangkaannya. Sangkanya lelaki itu menagih simpati, bermain kasih dengan isteri tercinta. Rupanya meleset. Sesungguhnya, lelaki itu cuma mahu lihat suami dan isteri itu hidup bahagia. Melepaskan total cinta dari hatinya.

Lelaki tulus itu. Melepaskan cinta yang bukan miliknya. Takkan pernah jadi miliknya selamanya.

Sang suami itu sendiri ada singgah di hospital tempat lelaki itu dibedah. Memang benar. Lelaki itu sudah tiada.

Mengalir air mata sendiri.

Apa yang lebih dikesalinya. Isterinya. Keguguran. 

Bahkan, Allah jua telah mengambil kembali apa yang Dia pinjamkan. Pendarahan serius akhirnya membawa isterinya ke hujung nyawa. 

Kecewa tidak terhingga. Sesal tidak terkata.

Dia bangun. Buka almari isterinya. Menitis air mata melihat pakaian isterinya. Rindu teramat. Membelek-belek helaian baju arwah isteri. Matanya terlihat sesuatu terselit di suatu sudut. Sebuah kotak. Kotak hadiah.

Dibukanya kotak itu.

"Hadiah untuk suamiku."

Ada sehelai jaket brand kegemarannya. Dengan warna kesukaan. Bersama satu kad ucapan mini.

"Abang, saya panjatkan kasih ini untuk abang. 

Walaupun hati ini terkadang pilu, kenang sikap abang yang dingin beku. Tapi, percayalah, hati ini untuk abang seorang. Segala rintangan akan saya tempuhi untuk dapatkan hati abang kembali. Walaupun belum tentu bila waktunya abang akan terbuka hati, kembali menyayangi diri ini.

Percayalah jua, demi Tuhan, isteri abang ini suci sedari waktu akad nikah lagi. Milik abang sepenuhnya. 

Abang. Saat saya titipkan ni, hati ini tulus mencintai."

Di akhir kad tercatat kalimah,

"Saat Allah masih beri waktu..
Hargai aku.."

Lelaki itu terduduk. Menggigil tubuhnya. Kesal.

Nangis semahunya. Apa guna lagi air mata. Berulang kali bibirnya melafazkan cinta pada arwah isterinya tika itu. Pada si isteri yang sudah tidak lagi mampu mendengar segala luahan rasa.

Isteri yang tak lagi mampu mengukir senyum sebagai balasan.

Lafaz balas yang akhirnya tersimpan selamanya.

Senyuman yang akhirnya pudar jua.

Cinta, benarlah milik Dia.

You May Also Like

0 comments